Quantcast
Channel: 'Mawar Nafastari'
Viewing all 122 articles
Browse latest View live

Episod 11 Lokasi :Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, tahun 2004 & 2006

$
0
0


“Aliah, aku sakit perut sangat ni.” Tangan saya memegang perut yang sedang sakit.

“Kau pergilah bagitau committee in charge bagitau kau sakit perut. Aku tengok ramai yang ke tandas macam kau”. Aliah menasihati saya, mungkin dia risau melihat saya terlalu kerap ke tandas. 

“Baiklah, aku pergi bagitau” balas saya dan laju saya mengatur langkah ke meja urusetia. Rupanya ramai yang sakit perut macam saya, jadi saya terpaksa beratur untuk ke kaunter urusetia. Semasa beratur saya melihat seseorang sedang meninjau-ninjau ke arah saya. Saya terpaku dan malu sendiri. 

“Perasan! Takkanlah abang tu tengok aku.Eh, itu macam abang baju jingga hari itu,” bisik hati saya. 

Sungguh saya terlalu malu untuk berdepan dengan dia, saya menukar barisan dan beratur di kaunter yang lain untuk mengelak berjumpa dengannya.  Kaunter itu dijaga oleh dua orang kakak senior, dan saya lebih selesa melaporkan kepada mereka. Giliran saya telah sampai, dan saya melaporkan kesihatan saya kepada urusetia tersebut. 

“Tunggu sekejap di sana, kamu akan dibawa beramai-ramai ke klinik. Nanti ada committee yang akan tolong bawakan. “ Jelas salah seorang kakak senior itu. 

Beberapa minit kemudian, 

“Ahmad, tolong bawakan mereka ni boleh? “ tanya kakak senior kepada urusetia yang bertugas. 

Saya menunduk malu dan berselindung di sebalik rakan yang lain “Alamak! Itu abang baju jingga. “ saya mengomel sendirian.
Kami dibawa ke klinik oleh abang berbaju jingga tersebut. Klinik tersebut di dalam kampus universiti sahaja. Oleh kerana kami pelajar tahun pertama, kami tidak arif tentang selok-belok kawasan kampus dan abang berbaju jingga bertanggungjawab untuk membawa kami ke klinik.

Rupa-rupanya kebanyakkan kami yang sakit perut itu terkena keracunan makanan. Kami diberi ubat dan direhatkan daripada mengikuti aktiviti riadah pada petang hari. Abang berbaju jingga setia menunggu kumpulan kami sehingga selesai berjumpa dengan doktor. Semasa saya keluar dari bilik doktor, saya lihat sahabat yang lain telah balik ke dewan dan hanya saya yang tertinggal. 

Abang berbaju jingga datang menyapa saya,

“ Awak boleh balik sendirian kan? Saya pergi dulu ya. “

Saya menggangguk faham dan senyum sahaja sedangkan sebenarnya saya tidak tahu pun jalan untuk pulang ke dewan. Maklumlah, pelajar baru! Tambahan pula,kawasan di universiti agak besar dan saya mungkin boleh tersesat.

Kelibat abang berbaju jingga semakin hilang. Saya samar-samar mencari jalan ke arah dewan. Agak jauh saya berjalan namun saya masih di sekitar kawasan yang sama. Semua bangunan nampak sama sahaja bagi saya. Menyesal rasanya tidak mahu mengaku tidak tahu jalan tadi. Ego dan malu tidak bertempat saya ini. 

“Adik pelajar taaruf ya, sila ikut akak ke dewan, program dah nak mula.” Seorang kakak menegur saya.

Lega sekali saya kerana akhirnya saya dapat pulang ke dewan.

**************

Hari berlalu, minggu taaruf bagi pelajar baru sudah tammat, saya pun sudah mula masuk ke kelas. Semasa perjalanan ke Kuliah, saya kerap kali terserempak dengan abang berbaju jingga. Kadangkala kami berselisih dan dia pasti akan memberi salam.

“Assalammualaikum.” Lembut sekali dia menyapa saya.

Saya tertunduk malu dan tersenyum simpul. Segan apabila tiba-tiba dia datang menyapa. Rasa berdebar-debar pun ada.

Saya berlalu pergi tanpa menjawab salamnya.

Keadaan itu berlarutan sehingga saya habis tahun pertama. Saya kerap terjumpa dengan abang berbaju jingga. Dia tetap akan menyapa dan memberi salam setiap kali kami terjumpa.

Terasa aneh sekali kerana kami sering berselisih. Setiap kali berselisih, abang baju jingga yang akan menegur saya dahulu. Reaksi saya tetap jua sama, hanya tersenyum dan tertunduk malu serta cepat-cepat mengatur langkah ke kelas untuk menghadiri kuliah. Saya meninggalkan abang berbaju jingga itu terpinga-pinga.

“Baya, abang kau!” sengaja Aifa mengusik saya semasa melihat abang berbaju jingga itu berlari ke arah saya.

" Kalau dalam satu hari terjumpa orang yang sama sampai tujuh kali, kemungkinan dia adalah jodoh la tu!" sahabat saya Alina tambah mengusik saya . Saya keliru dan malu, tidak tahu hendak memberi reaksi apa dan bagaimana.  

Bohonglah sekiranya saya kata saya tidak tertarik padanya. Dia sangat berbudi bahasa orangnya. Saya memerhatikan dia selalu berhenti dan menyapa sahabat-sahabatnya serta bersalaman setiap kali dia berjumpa rakannya .Saya pula amat pemalu orangnya. Segan hendak memulakan bicara dengannya. Saya beranggapan dia seorang yang peramah dengan semua orang agaknya.

Mungkin dia mencari peluang untuk berkenalan dengan saya dan akhirnya dia berjaya menemui dan mesej saya di laman Friendster. Kami mula berkenalan dan berbual ringkas sahaja.
Perbualan kami terhenti di situ dan saya tidak membalas panjang perbualan itu. 

Setahun sudah saya di universiti, dia pun sudah habis belajar di universiti. Tiada lagi abang berbaju jingga yang akan terserempak dengan saya. 

Suatu petang, saya sengaja duduk di cafe di mana kami selalu terserempak dan berharap dia akan lalu. Walaupun saya tahu dia sudah habis belajar namun saya masih mengharapkan agar dapat berjumpa dia lagi. 

“Assalammualaikum” suara lelaki itu seperti saya pernah dengar.  Saya menoleh dan melihat susuk tubuh abang berbaju jingga ! Dia benar-benar di hadapan saya. Saya tersenyum gembira dan menyahut salamnya.

“Waalaikumussalam”.

“ Awak apa khabar?, saya datang ni ambil transkrip peperiksaan akhir saya. Alhamdulillah, saya sudah bekerja sebagai PTD. “

Eh, saya tak bertanya pun apa-apa, memandai sahaja dia bercerita perihal pekerjaannya. PTD tu apa pun saya tidak tahu. 

“Baguslah, semoga maju jaya! Saya balik dulu!”

Sekali lagi saya meninggalkan abang berbaju jingga terpinga-pinga. Saya sendiri tidak pasti kenapa saya bertindak begitu, gemuruh agaknya bertentangan mata dengan dia.

Malam itu, saya mendapat pesanan ringkas di telefon bimbit 

“Will you marry me?”

Eh, biar betul abang berbaju jingga ini?! Kenal pun tidak, tiba-tiba ajak saya kahwin?

Aneh.

Setelah difikirkan sebenarnya saya tidak pun tahu tentang dia dan keluarganya. Malah kegemaran dia pun saya tidak tahu langsung cuma yang pasti, dia seorang budak yang baik. 

Saya memberikan jawapan balas.
“Kalau betul awak serius, jumpalah ayah saya dahulu. Minta izin ayah saya.”
Dia benar-benar serius nampaknya, dia datang ke rumah saya dan meminta izin dengan ayah saya. 

 Bila mana kita dah jumpa orang yang kita yakin dia baik dan boleh jadi suami kita, tak perlu ragu-ragu lagi untuk terimanya.





Behind the scene Episod 11

Episod 12 Lokasi : Bulan madu di Saudi Arabia, tahun 2010

$
0
0


"Tuan-tuan dan puan-puan, kita akan mendarat sebentar lagi, sila tegakkan tempat duduk anda, pasangkan tali keledar dan tentukan meja anda terletak di tempat yang asal, terima kasih." suara pramugari memberi pesanan bahawa kami akan sampai ke bumi Saudi Arabia. 

Syukur, Alhamdulillah. Impian saya menjadi kenyataan. Selalu saya mendengar cerita orang seronok pergi membuat umrah, kali ini Allah izinkan saya bersama-sama Ahmad dan Embun untuk menjejakkan kaki ke rumah-Nya. Tak sabar rasanya ingin menjelajah bumi Madinah dan Makkah nanti di sini. 

Fikiran saya terawang-awang membayangkan suasana di hadapan Kaabah nanti. Oh, indahnya dan sangat teruja!  Sedang saya seronok berangan, Ahmad di sebelah mendekati telinga saya dan berbisik, 

"Nur, anggaplah ini bulan madu kita ya, I tak mampu nak bawa you pergi Paris.."   Dia buat cerita sedih dia lagi pula. Tergelak kecil saya dibuatnya.

Kami tidak mengikut mana-mana agensi umrah dan kami terbang dari  Islamabad ke Jeddah bertiga sahaja. Sesampai di Jeddah, kami menaiki teksi untuk ke terminal domestik, kami menaiki penerbangan Saudi Airlines menuju ke Madinah dan seterusnya menaiki bas ke Makkah. Mujur Ahmad boleh bertutur dalam bahasa arab sedikit maka senang untuk kami berinteraksi di sana. 

Kedatangan kami bagi mengucapkan rasa syukur yang tak terhingga pada-Nya atas segala nikmat dan rezeki yang diberikan dan berdoa agar dikekalkan iman, diteguhkan Islam dalam hati kami dan sentiasa patuh pada-Nya.

Alhamdulillah, Allah permudahkan segala perjalanan kami di sana. Bulan madu kami yang paling indah dan akan menjadi kenangan manis buat selamanya. 

"Ahmad, terima kasih.." bisik saya ke telinga Ahmad pula.


Episod 13 Lokasi : Bukit Margala, Islambad tahun 2010

$
0
0


"Ahmad, tunggulah saya. Jauh lagi ke nak sampai puncak bukit ni?" saya mengeluh kesal kerana ikut Ahmad mendaki bukit kali ini.

Ahmad mencebik, "La, tadi dia juga kata nak ikutlah, nak tengok pemandangan apa la, sekarang baru separuh perjalanan dah mengalah?"

Saya muncung dan sambung meneruskan pendakian.  Sebenarnya seronok juga mendaki ini untuk menghirup udara segar, melihat pemandangan yang hijau dan bersenam juga. Tapi, bukannya nak makan hati dengan kritikan yang tidak membina orang kat depan sana.

" Dia boleh la, kaki panjang, langkah besar, kita ni dah lah pendek, jalan terkedek-kedek di belakang!" bentak hati saya tidak puas hati Ahmad jauh di hadapan bersama Embun di dalam beg galas depan.

"Cepatlah, nanti dah senja tak sempat sampai atas!" Ahmad berteriak dari jauh.

Saya akur dan pasrah lalu terus melangkah lagi sehingga ke puncak bukit. Subhanallah, memang cantik pemandangan di sini. Kehijauan pokok-pokok membuatkan rasa nyaman dan penat dan sakit hati saya sebentar tadi seakan hilang.

Sesampai sahaja di rumah, saya masih masam mencuka. Tidak puas hati dengan tindakan Ahmad meninggalkan saya jauh di belakang.

 "Kata nak pergi daki sama-sama, tapi seorang di depan , seorang di belakang. Bukan sama-sama macam tu! " bisik hati saya yang geram. Saya menghempas beg tangan dan terus berlari ke bilik air. 

"Ala, cik Nur, keluar lah, jangan merajuk.." rayu Ahmad dan pintu bilik air diketuk berkali-kali. 

"Tahu pula rasa bersalah kan, padan muka!" sengaja saya tinggikan suara tanda masih protes. Orang lelaki tak boleh bagi muka dan selalu saja blur kalau dia buat silap.

"Nur..." kali ini sayup pula saya dengar suaranya. 

Pintu bilik air dikuak dan saya keluar sambil menunjukkan kit ujian mengandung kepadanya. Terdapat dua jalur di atas kit ujian tersebut. 

"Embun nak dapat adik ke? Syukur Alhamdulillah... " Ahmad meloncat gembira.

OST Drama penulisan

$
0
0
Mawar Nafastari <---- klik sini untuk tengok video
Daku lelaki dikau wanita
Bertemu di atas pentas dunia
Fitrah manusia berkasih bercinta
Tak terpisah bagaikan nafas dan nyawa

Andai itu hajat hatimu
Dengarlah lafaz ikhlasku
Dikaulah anugerah terbaik buatku
Kan ku menyayangimu ke hujung waktu

Impianku (itu impianku, itu impianku)

Daku suami dikau isteri
Bersama tempuh panas terik mentari
Kasih sayangku kasih sayangmu
Tak terlukis di hampar sekadar waktu

Andai waktu tak lagi milikku
Berjanjilah permaisuriku
Dua azimat kau gengam pasti selamat
Penyuluh di kala lewat di jalan gelap

Aku kan menantimu di dalam waktu
Yang terhenti hingga kau kembali padaku
Kau milikku demi cinta
Kau milikku demi cinta
Kau milikku demi cinta
Kau milikku demi cinta

Nanti kembali bercinta
Di taman syurga yang indah
Di situlah bermula cinta pertama
Fitrah kan menjadi satu anugerah

Kurniaan dari yang Maha Kuasa
Kekallah semuanya di dalam rehda selamanya
Demi cinta 
Demi cinta 
Demi cinta

Episod 14 Lokasi : Islamabad dan Lahore tahun 2011

$
0
0

"I dah lama sabar dengan perangai you ni tau Nur, I tahu la nak kena buat apa, you tak perlu suruh-suruh, I tak suka!" Tersentak saya mendengar suara Ahmad yang begitu kuat sampai kelihatan urat di lehernya. Dia begitu marah. Tidak pernah lagi saya melihat dia meninggikan suara begitu sepanjang saya berkahwin dengannya. 

Air mata saya mulai bertakung, saya menahan semahunya agar air mata saya tidak tumpah sewaktu itu. Saya keliru, saya cuma mengingatkannya untuk pergi ke klinik kerana temujanji suntikan Kekwa yang baru tujuh hari lahir.  Kenapa dia begitu marah sekali? Saya tertunduk diam. Ahmad mengambil Kekwa yang sedang tidur di atas katil dan kemudian dia melulu keluar tanpa berkata sepatah ayat pun. 

Enjin kereta Ahmad berbunyi, saya menghampiri tingkap bilik dan mengintai apa yang berlaku. Kereta dan Ahmad hilang di pandangan mata saya. "Dia ni ke mana pula? tak mungkin dia bawa Kekwa bersama? " bisik hati saya. 

Saya berlari keluar dan melihat Mama dan Che sedang santai berehat di kerusi halaman rumah. Kasihan Mama dan Che nampak keletihan mungkin kerana sibuk melayan tetamu sempena majlis aqiqah Kekwa semalam. Saya menghampiri mereka dan bertanya, 

"Che, mana Kekwa? Pa bawa dia sekali ke? seorang diri dia sahaja? Dah Hafiz tak ikut sama?" kerisauan saya tidak boleh disorokkan lagi di hadapan ibu mentua saya ini. Selalunya saya cuba mengawal emosi saya jika saya sedang merajuk dengan Ahmad. Kali ini saya gagal mengawalnya. Riak wajah saya masam mencuka kerana masih terkejut dimarahi oleh Ahmad tadi.

"Biasalah dia Nur, orang lelaki memang begitu, tak usah ambil hati sangat." pujuk Che yang dapat menghidu salah faham antara kami. 

Mama di sebelah mengangguk tanda setuju dan senyum memandang Che. Saya menghempas punggung dan duduk di kerusi laman bersama-sama mereka sambil menarik muka tidak puas hati. Entahla, hati saya masih sakit diperlakukan begitu. Salahkah saya mengingatkan dia untuk membawa Kekwa ke klinik? 

**********

"Kita pergi ke Lahore ya Nur, I nak bawa Che, Ayah, Mama dan Hafiz jalan-jalan tengok Lahore. You boleh kan ikut sama. Duduk saja dalam kereta, kita tak perlu jalan banyak." lembut pula Ahmad memujuk. 

Saya mengangguk setuju. Sebenarnya saya masih makan hati soal petang tadi, tetapi saya tidak mahu mengeruhkan lagi keadaan, maka saya menurut saja kemahuannya. Walaupun sebenarnya dalam hati saya risau keadaan badan saya yang masih di dalam pantang ini. 

"Okay, saya ikut saja." 

Keesokkan harinya kami bergerak ke Lahore dan tiba di rumah sahabat kami Puan Zai yang menetap di sana. Puan Zai sangat baik hati kerana mempelawa keluarga kami untuk tinggal bermalam di rumahnya. 

Kami berjalan-jalan di sekitar bandar Lahore dan juga ke Sempadan Wahga iaitu sempadan di antara negara India dan Pakistan. Di sana kami melihat upacara pertukaran bendera dan petugas askar yang menjaga pintu sempadan. Upacara tersebut memukau hati saya kerana ianya dilakukan sangat unik serta patriotik. 

Berada di kota Lahore membuatkan saya berada di Kota Cinta kerana keindahan struktur bangunan di sana, corak hiasan dinding setiap bangunan sangat mempesonakan. Perasaan indah terbuai-buai dan menambahkan lagi buah cinta saya kepada Ahmad. 

"Ahmad, maafkan Nur sekiranya selama ini Nur menyusahkan awak. Saya janji lepas ni saya tak mahu cari gaduh dengan awak, kontrol awak ke apa ke.. maafkan saya tau."   saya mendekati  Ahmad lalu memegang erat tangannya . 

(bersambung....)

Episod 15 Lokasi : Terengganu tahun 2011

$
0
0


Saya terjatuh di bawah tempat duduk,cermin mata saya terpelanting dan tudung saya tercabut. Saya meraba-raba di dalam keadaan yang gelap, tiada lampu di bahu jalan raya itu,
Saya meraba-raba mencari Kekwa. Saya terdengar Embun menangis ketakutan. Saya ambil keduanya dan memaling ke arah Ahmad.
"sayang, bangun sayang...." senyap, tiada jawapan daripada Ahmad.

Saya terlalu cemas, saya tidak dapat berfikir apa-apa selain menyelamatkan anak-anak saya dahulu.Saya membuka pintu kereta dan melihat ada orang di tepi jalan itu lalu berteriak 

"tolong amik anak saya, saya mahu keluarkan suami saya". mereka datang menolong ambil anak saya.

Saya  berlari ke arah pintu pemandu dan cuba untuk keluarkan Ahmad. Saya terlalu rabun sampaikan saya tidak tahu apa yang tersepit. Saya  memanggil lagi..

“Ahmad, bangun sayang...” 

Diam. Sunyi. 

Dia masih tersepit dan tidak menyahut.

Saya keluar semula dari kereta dan mencari Embun dan Kekwa.

"mana anak saya? tolong pegang anak saya dan jangan duduk jauh-jauh, tolong panggil ambulan cepat, cepat keluarkan suami saya, kenapa dia tersepit?” saya berteriak dan saya terlalu panik. Penantian ambulan untuk tiba terasa amat lama. Seminit rasanya seperti sejam lamanya. 

Saya berkeras mahu mengeluarkan suami dan menghantar dia ke hospital berdekatan. Ramai orang kampung datang menolong saya.  Ahmad dapat dikeluarkan dan mereka  juga mengeluarkan barang-barang berharga di dalam kereta itu dan memberikan kepada saya.

Saya memasuki semula ke dalam kereta dan terjumpa tudung dan cermin mata yang terpatah tangkainya lalu terus memakainya kembali.

Satu keluarga yang baik hati menolong kami sekeluarga. Dia membawa kereta pacuan empat roda, Embun dipegang oleh isterinya, manakala saya memangku Kekwa. Tangan saya mengelap darah di tubuh Ahmad. Saya tidak berkesempatan memeluk Ahmad kerana saya sedang memangku Kekwa yang masih bayi. Terasa sungguh panik sekali, tanpa henti saya menyebut kalimah "la illaha illallah". 

Tiada setitik pun air mata yang keluar ketika itu kerana saya terlalu risau. Hanya Tuhan saja yang tahu perasaan saya. Apabila tiba di hospital, doktor terus melakukan CPR,

“Maafkan saya, tiada harapan lagi.” 

Saya masih berharap agar Ahmad masih hidup, lalu saya menyuruh doktor mencuba sampai boleh.

“Doktor cubalah lagi buat CPR tu, tolonglah doktor.” Terketar-ketar suara yang keluar di bibir saya.

Doktor mencuba lagi. Sepuluh minit kemudian, doktor mengesahkan bahawa Ahmad sudah meninggal dunia. Saya menelefon keluarga dan memberitahu mereka yang suami saya koma, walhal doktor tidak pernah mengatakan dia koma. Saya berharap dia masih hidup sehinggalah adik ipar saya datang memberitahu saya, 

"Kak Nur, Pa sudah tiada"

Air mata saya akhirnya bercucuran. Saya terasa seperti tidak boleh berpijak di bUmi yg nyata. Saya mendakap Embun sekuatnya. Seandainya saya melepaskan Embun, mungkin saya sudah terjelepuk.

Saya duduk lalu menangis dan menangis. Apa yang mampu saya lakukan hanya menghadiahkan al- fatihah kepadanya.

"inna lillahi wa inna ilaihi raji'un. (Daripada Allah kita datang, kepadaNya kita kembali).

Episod 16 Lokasi : Shah Alam tahun 2011 dan tahun 2020

$
0
0


"Macam mana dia nak bela budak-budak tu, dia tak kerja, memandu pun tak pandai."

Kedengaran suara orang yang begitu prihatin akan nasib saya dan anak-anak. Saya terkilan dan terdiam. Tanpa sedar, air mata saya jatuh dengan sendiri. 

Saya tidak kuat, saya lemah dan tidak punya apa-apa. Tetapi saya tidak mahu melepaskan anak-anak saya. Mereka amanah saya dan tanda cinta saya dan suami. Saya termenung di tikar sejadah. Air mata saya tumpah lagi. 

Saya cuba mencari kekuatan dengan bacaan quran dan zikir. Perasaan dan hati saya sedikit tenang selepas berzikir. Subhanallah, benarlah dalam Quran mengatakan bahawa apabila kita banyak mengingati Allah, hati kita akan menjadi lebih tenteram. 

Dia telah pergi.

Selamanya meninggalkan saya dan dua orang puterinya Embun dan Kekwa. Embun berusia setahun sebelas bulan manakala Kekwa berusia tiga bulan. Saya masih terkejut dengan pemergiannya yang tiba-tiba. Kematian mengejut tanpa apa-apa tanda. Allahu, siapa saya untuk menidakkan takdir dan ajal yang telah ditentukan oleh-Nya. Benar, kematian itu pasti. Benar, alam barzakh itu alam selepas kematian. Benar, jodoh dan maut itu ditangan Tuhan.

Saya seperti baru tersedar daripada mimpi indah, terjaga dari mimpi yang selama ini saya rasakan dunia perkahwinan adalah pengakhiran kehidupan dunia untuk bahagia. Allahu, saya malu padaNya kerana saya terlupa, ada sesuatu yang mengintai dan memerhati kita setiap hari kita iaitu ajal. Allah, saya baru mengerti akan hakikat kematian orang yang tersayang. Hakikat yang sebenarnya kita manusia hanya pinjaman.

Hari demi hari tanpa dia di sisi, hanya bertemankan Embun dan Kekwa serta sokongan keluarga dan sahabat-sahabat setia. Hari-hari saya banyak berendam air mata, memendam rasa, menahan duka dan cuba untuk tidak fokus kepada kelemahan sebaliknya mencari jalan keluar setiap masalah yang dirasakan menyesakkan dada.

Ahmad terlalu manjakan saya sehingga saya tidak pernah memikirkan hidup saya tanpanya. Saya terlalu bergantung harap kepada suami sehinggakan saya tidak merencanakan kehidupan saya tanpa suami. Allahu, dugaan ini sangat berat untuk saya tanggung namun Allah takkan menguji saya sekiranya saya tidak mampu. Saya yakin, Allah sentiasa ada. InshaAllah akan ada jalan buat saya. 

Saya mula merangka pelan hidup saya dan anak-anak. Saya mengumpul tulisannya dan menyiapkan manuskrip pertama untuk dijadikan sebuah buku. Saya juga mula memikirkan langkah untuk saya bangkit meneruskan kehidupan demi membesarkan kedua orang puteri kesayangan saya. Embun dan Kekwa kekuatan saya, akan saya jaga mereka sehingga akhir hayat saya. 

**********

"Umi, bila kita boleh keluar rumah dan virus covid19 nak habis?" Tanya Embun ingin tahu. 

Saya  yang sedang khayal dan ralit menulis di skrin telefon pintar mengalihkan muka memandang wajah Embun dan tersenyum membalas, 

"InshaAllah, kita doakan yang terbaik, semoga Allah permudahkan urusan urusan kita hari ini dan di akhirat nanti. Sekarang ni kita kena banyakkan berdoa, terkurung lama di rumah melatih kita untuk memohon pertolongan Allah dengan penuh kusyuk. "

Embun tekun mendengar jawapan saya lalu saya menambah

"Ingat, dunia semakin singkat, dah hampir kiamat, kakak hafal surah Al-Kahfi kan? Bagus hafal surah tu, Umi sendiri pun tak hafal lagi. " Embun tersipu-sipu malu dan kemudian Kekwa datang mencelah, 

"siapa yang hafal surah tu akan diselamatkan dari fitnah dajal dan muka akan bersinar di hari kiamat nanti kan umi?" 

Betul tu sayang.. 

Hidup bukan sekadar bernafas, tetapi hati juga selalu berdetik hanya untuk mensyukuri nikmat kehidupan yang masih berbaki ini. Semoga kehidupan kami diberkati dan beroleh kebahagiaan hakiki di akhirat nanti kerana
fokus utama, Syurga! 

-TAMMAT-

kesinambungan inshaAllah doakan manuskrip bertajuk Setelah Engkau Pergi, perihal ibu berjuang membesarkan amanah yang ditinggalkan berjaya memikat hati penerbit. Masih lagi dalam semakan. Hehehe. kasik hint je ni buku akan keluar soon. 😘💕

It's a wrap! 😘

$
0
0
It's a wrap!

Drama rantaian penulisan PKP dah tammat. Penampilan khas Embun dan Kekwa di episod 16 akhir cerita.

Happy ending lah gais!😊

(maaf kalau ada salah silap terkurang mana-mana info atau ayat yang tak sedap, sekadar berkongsi cerita pengalaman peribadi, semoga cerita kami memberi manfaat buat sahabat pembaca semua. 😘😘💕)

🌹

Rakaman cerita indah

$
0
0
melihat BCL seperti melihat diriku 9 tahun yang lalu. Saat perginya kekasih hati secara tiba-tiba.

Kelu, sedih dan bagai separuh nyawaku hilang bersamanya.

Penuh kisah cinta yang indah-indah ditulis di statusku, supaya aku tidak pernah lupa saat manisku bersamanya.

Hidup harus diteruskan, sejauh mana sekarang aku melangkah, hatiku tetap dekat dengan kenangan lalu aku dengannya. Kerana aku tidak pernah mahu melepaskannya.

Tulisan ini cuma cerita, cerita yang merakam kisah indah aku dan dia.

Saban hari saban tahun aku semakin tua, saat aku sudah lupa dan nyanyuk, semoga tulisan ini menjadi memori indah untuk aku ulang dan baca.

Kisah mawarnafastari buat tatapan semua, kerana tiada cinta yang abadi selain Dia.

cintakan bunga, bunga akan layu,
cintakan manusia, manusia akan mati,
cintakan Allah, selamanya Dia tetap ADA.

#mawarmenulis
#justajourney
#sepdsi

Mengurus Kewangan Peribadi

$
0
0
Bermula daripada bawah, akaun simpanan di bank hanya rm50, tiada simpanan tetap dibuat kerana baru setahun dua usia perkahwinan dan hanya seorang surirumah dan tidak pernah bekerja. Itulah saya, pada tahun 2011.

Kehilangan suami membuatkan saya terkapai-kapai, mencari arah dan petunjuk jalan untuk mengemudi dan meneruskan kehidupan bersama anak-anak yang ditinggalkan. Urus tadbir harta anak-anak yatim bersama dengan peninggalan sedikit wang simpanan di akaun bank Ahmad. Tanggungjawab yang besar dan mencabar bagi saya. Namun saya cuba sedaya upaya melakukannya dengan sebaik yang mampu. 

Kami bukan daripada keluarga kaya dan mewah. Ahmad  latar belakangnya anak kampung baru bermula kerjayanya di luar negara, nampak seperti jawatan besar namun ianya cuma tanggungjawab besar yang diamanahkan. Bekerja bukan mengejar pangkat dan harta, tapi untuk meneruskan kehidupan dan berbakti kepada orang sekeliling.

Saya pula, juga bukan orang kaya mahu pun daripada keluarga kaya, pengalaman hidup keluarga mengajar saya erti naik turun hidup ini. Hidup ini ibarat roda yang berputar, kadangkala kita di bawah, kadangkala kita di atas. Papa pernah mewah namun Papa juga pernah muflis. Satu kenangan dan pengalaman indah yang tak mungkin saya lupakan. Pengalaman ini mencorak pemikiran dan gaya hidup saya. Saya belajar erti berjimat cermat serta mengawal diri untuk membeli sekadarnya. Mengikut keperluan diri dan peruntukkan yang ada sahaja.

Persiapan diri perlu dibuat untuk menghadapi kemungkinan hari mendatang. Saya sendiri agak ralat kerana tidak pernah menyimpan wang semasa di awal perkahwinan kami. Namun masa tidak boleh berputar kembali, apa yang saya lakukan adalah berusaha untuk tidak mengulangi kesilapan itu lagi. 

Sebelum menyimpan dan membuat perancangan kewangan, saya belajar daripada buku penulisan berkaitan kewangan, cara mengurus kewangan, buku berkaitan pengurusan harta anak-anak yatim dan faraid. Sungguh sebelum kematiannya ilmu saya amat sedikit, saya tidak cakna perihal pengurusan kewangan. Setelah ujian menimpa, saya tercari-cari arah dan jalan untuk perbetulkan semula keadaan ekonomi keluarga kami demi untuk membesarkan kedua orang puteri saya. 

Saya tidak kisah digelar ulat buku, pembaris dan terlalu mengikut buku. Saya hidup untuk membetulkan apa yang silap di masa lalu dan untuk kehidupan masa akan datang. Tanpa ilmu, saya tidak mungkin mampu membuatnya dengan betul. 

Saya ringkaskan di sini isi-isi penting yang saya perolehi dari pembacaan saya mengenai pengurusan kewangan dahulu. Bukunya terlalu banyak dan saya hampir lupa tajuknya. Tapi saya huraikan isi penting dan apa yang telah saya pratikkan selama ini. 

ini sesuai bagi yang baru hendak bermula dari bawah.

Pertama
Senaraikan bajet atau peruntukkan kewangan anda. Mulakan dengan perbelanjaan yang harus ditanggung setiap bulan. Senaraikan satu per satu keperluan kita. KEPERLUAN sahaja bukan kehendak ya! Bajet selalunya harus lebih daripada perbelanjaan sebenar untuk mengelakkan berlakunya kekurangan wang di tangan. 

Kedua
Bila sudah tahu bajet yang diperlukan setiap bulan, rancang perolehan yang perlu kita ada. Tetapkan perolehan (income) yang perlu kita perolehi untuk menampung perbelanjaan keperluan bulanan kita itu. 

Mula bertindak untuk berusaha mencapai jumlah perolehan itu.  Semoga berjaya, dan yang penting percaya bahawa Allah Pemberi rezeki, kita kena usaha dan selalu berdoa kepadaNya. 

Baiklah, cara yang lain pula bagi yang sudah ada kerjaya dan perolehan tetap. Caranya kena terbalik dengan di atas. 

Pertama. 
Ambil tahu berapa perolehan bulanan anda. 

Kedua. 
Senaraikan keperluan bulanan anda dan buat bajet bulanan. Bajet ini harus merangkumi keperluan, simpanan dan sedikit kehendak. 

Ketiga. 
Peruntukkan income yang anda ada untuk tujuan zakat, simpanan, insurans, wang kecemasan dan derma kilat. 

untuk simpanan, saya gunakan cara membuka akaun bank yang berlainan dengan akaun gaji. Akaun itu haruslah akaun yang anda jarang sentuh dan kad bank akaun itu disimpan diam-diam serta tidak ada online banking bagi bank tersebut. Biar susah nak ambil supaya takde gatal tangan nak guna. 😂

cara lain juga, simpanan melalui insurans takaful, cara ini lebih mudah dan bersifat jangka panjang. Memang kita tak akan nampak duit simpanan itu, tapi percayalah, satu masa bila simpanan itu matang, kita akan ada simpanan masa hadapan. 

Jangan lupa juga, simpanan untuk tabung haji. Berazam untuk pergi haji tapi tak pernah menyimpan untuk pergi haji. Seolah-olah nak minum air sebab dahaga, tapi tak pergi ambil air, Mana nak hilang hausnya. 😂

Wang derma kilat juga harus dibuat kerana kita tidak tahu, setiap bulan pasti ada yang memerlukan, tidak peminta sedekah, adik-beradik atau kawan-kawan yang terdesak memerlukan pertolongan. Tolong selagi kita mampu dan ada. Mungkin hari ini kita tolong dia, esok hari kita, ada orang lain akan datang menolong kita. Cuma jangan kita mengharapkan orang yang sama kita tolong itu akan menolong kita bila kita memerlukan dia. Sifat memberi ini harus ikhlas, tidak mengharapkan balasan dan semata-mata kerana Allah dan kasih sayang manusia. Allah pasti akan menolong kita dengan pelbagai cara apabila kita tidak berkira menolong orang. InshaAllah. 

Kita juga harus belajar untuk memikirkan untuk melabur sumber kewangan yang kita perolehi dengan membeli aset. Rumah misalnya atau pun emas. Kedua-dua ini bersifat pelaburan jangka panjang. 

Kenapa perlu memikirkan jangka panjang walaupun kita tahu akhirnya kita semua akan MenemuiNya, bila meninggal anak Adam, hanya tinggal tiga perkara ilmu bermanfaat, amal jariah dan doa anak yang soleh. Kita tinggalkan aset yang selesa dan kehidupan yang baik buat anak cucu kita supaya mereka dapat menyambung ibadah kita dengan memperbanyakkan sedekah. Semoga itu pahala jariah yang berpanjangan buat kita bila kita meninggal nanti. Aset yang ditinggalkan, anak-anak kita gunakan untuk kelangsungan hidup mereka dan jika mereka melabur untuk membuat sedekah jariah, semoga pahala itu juga turut mengalir buat kita di alam kubur nanti. Sebab itu pentingnya mengumpul aset dunia juga. Subhanallah. Sungguh, hidup ini kita saling memerlukan walaupun kita berbeza alam. 

Itu serba sedikit ilmu yang saya belajar melalui pembacaan buku pengurusan kewangan peribadi dan tarbiah rohani. Semoga bermanfaat hendaknya dan penulisan ini menjadi peringatan buat diri saya sendiri juga. 

Sabar itu cantik 🌹

#mawarmenulis 
#tipskewanganperibadi

Intai aku di sini

$
0
0
Protect your heart and yourself from being hurt by others. Ignore things that make you sad, be brave and strong. 💪The energy is within you. You create positive minds, you will be positive. ❤️

Kau tidak penting untuk aku lagi.

Tak usah hadir dalam fikiran ini. 

Kau buat saja cara kau,

Aku dengan cara aku.

Jangan kau intai aku di sini lagi,

Dan aku tidak akan menjengah kau di sana.

Bukan aku benci kau, tetapi kau yang mengetepikan aku dahulu.

Aku tidak akan ambil tahu tentang kau lagi. 

Itu cara aku menjaga diri.

Kerana aku tidak mahu disakiti.

Titik.

#mawarmenulis
#justsaying

Jodoh

$
0
0


"I love you, only you" - ayat yang sering Ahmad tulis apabila dia ingin memujuk saya.

Saya tahu, saya bukanlah yang pertama hadir dalam hidupnya, dan dia juga tahu dia juga bukan yang pertama hadir dalam hidup saya. Kami pernah berkenalan dengan orang lain juga sebelum kami membuat kata putus untuk bernikah.  Kami pernah berselisih faham sebelum bernikah, hampir rasa tidak berjodohan lagi waktu itu.  

Lumrah pasangan bercinta akan berselisih faham, berbeza pendapat dan bergaduh tentang hal-hal yang sebenarnya boleh dibawa bincang dan mencapai kata sepakat. Tapi benarlah, kalau dah jodoh, tidak akan ke mana. Hari ini gaduh, esoknya akan berbaik semula kerana Jodoh menguatkan. 

Jodoh itu Ketentuan Tuhan. Saya syukur kerana saya  dipilih menjadi  jodohnya yang pertama dan terakhir.  Ternyata ayat yang sering diucapnya bila memujuk saya itu benar. I am his one and only. ❤️

Bagaimana pula dengan saya? adakah dia jodoh pertama dan terakhir saya? Jujurnya saya sangat takut untuk memikirkannya namun saya juga harus bersedia dan matang dalam memikirkan tentangnya. Doa dan harapan saya sentiasa mengharapkan dialah jodoh saya di dunia dan di akhirat nanti. 

Jodoh dan maut sering dikaitkan, kerana sifatnya sama. Jodoh itu sangat misteri dan penuh keajaiban dan rahsia . Tidak siapa pun tahu bila, bagaimana dan dengan siapa. Begitu juga dengan maut, tiada siapa tahu bila, bagaimana dan siapa akan meninggal dahulu.  

Jadi, jika ada yang bertanya tentang jodoh bagi yang belum berkahwin atau sudah kematian suami mahupun bercerai, bila orang tanya soal Jodoh, kita tanya pula kepada dia tentang Maut. Kalau ditanya  "bila kau nak menikah?" balas saja, "bila kau nak meninggal." Eh! 😂

#mawarmenulis 
#sharingthoughts
#merapuje

Pengganti?

$
0
0
ada yang mempertikaikan tentang lelaki jika kematian isteri, mudah saja cari pengganti. Perempuan pula lebih banyak memilih untuk setia.

Katanya. Kata mereka.

Ini pula kata saya.

Tidak semua, dan tidak harus kita memikirkan begitu dan begini tentang soal hati dan jodoh.

Jodoh itu rahsia Allah.

Hati itu milik Allah.

Fitrah manusia itu ingin berpasangan, dan fitrah lelaki memang inginkan perempuan sebagai teman.

Tetapi perempuan itu lebih mudah terusik emosinya. Hati perempuan mudah tersentuh, sebab itu ramai memilih untuk terus setia dengan suami pertama kerana naluri perempuan yang mudah tersentuh dengan kenangan lamanya.

Ada juga yang bertemu jodoh baru, tidak boleh kita menyangkal dan menuduh mereka tidak setia. Siapa kita untuk menghakimi hati manusia yang sifatnya boleh berubah-ubah.

Saya. Dia. Atau sesiapa sahaja.

Semoga diberikan cinta manusia yang membawa kita mengenal Cinta - Nya.

itu yang lebih utama.

Dan saya, masih kekal bercinta dengan Ahmad kerana pemergiannya membawa saya mengenal cinta yang sebenarnya.

إنا لله وإنا إليه راجعون

Innalillahiwainnailaihirojiun.

#mawarmenulis

Cebisan kisah - pesanan masuk (inbox)

$
0
0

"Hai..." 

pesanan masuk di Mesengger.
Saya melihat profile FB nya. Lihat gambarnya, tidak pernah kenal. Lelaki mana ini.

Oh abaikan saja.

Pesanan itu tidak berbalas dan dibiarkan sepi begitu saja.

"Hi, awak buat apa tu?" 

Pesanan masuk lagi.. kali ini, orang lain pula. Saya lihat gambar profil di FB nya. Lelaki dan ada mutual friend. Ramai juga mutual friend , tetapi saya tidak pernah mengenalinya.

Saya tidak membalas pertanyaannya.
Cukup sampai di situ, demi menjaga hati saya dan hati dia. Perbualan harus dielakkan untuk menjaga hati kedua-dua pihak.

Ting! 

Pesanan yang lain pula masuk, 

"Baya buat apa sekarang, duduk di mana?"
"Anak-anak sihat?"

kali ini pesanan dari orang yang pernah saya kenal dan rapat sebelum ini. Lelaki juga. Saya keliru harus membalasnya atau tidak. Di sini ujian hati bermula. Dilayan salah, tidak melayan pun rasa serba salah.

Akhirnya saya membalas.

"Alhamdulillah, saya dan anak-anak baik-baik saja."

Kemudian dia mula bertanya soalan yang lainnya,

tetapi saya membiarkan soalan itu tidak berjawab. Diam dan sepi begitu saja.

Ya, semoga itu lebih baik untuk saya menjaga hati saya dan hati dia.. 

Ini hanya cebisan kisah saya sepanjang menjadi balu. 

Tidak mudah menjaga hati dan menjaga diri, namun selalu di dalam hati berdoa semoga Allah pelihara dan jaga perilaku saya. 

اللَّـهُمَّ كَمَا حَسَّنْتَ خَلْقِي فَحَسِّنْ خُلُقِي

“AlLahumma kama hassanta khalqi, fa hassin khuluqi.”

Ya Allah sebagaimana Engkau telah cantikkan kejadianku (rupaku), maka cantikkanlah juga akhlakku.

#mawarmenulis

Taaruf

$
0
0
Berjumpa kenalan baru lagi, sekali lagi taaruf mengenai diri diulangi..

"suami kerja mana?" dia menyoal seperti biasa. Tiada yang luar biasa dengan soalan itu kerana memang biasa dengan perbualan begitu. 

"suami saya sudah meninggal.."  saya menjawabnya dengan menahan sebak di dada.
Lidah masih lagi kelu dan kesah menjawabnya.

Sudah tahun ke sepuluh dia pergi pun masih lagi tidak tertanggung rasa ini. Bukan tidak redha, tetapi perasaan itu berat,

Rindu. Menyakitkan.

Allah lebih Tahu.

Hasbunallah wanikmal wakil

$
0
0
Kebanyakkan masa saya hanya kami bertiga.

Embun, Kekwa dan saya.

kehidupan yang saya sendiri memilihnya, untuk  terus membesarkan anak-anak sendirian, saya juga memilih untuk duduk sendiri di rumah kecil untuk kami bertiga berteduh.

Sejak mama meninggal, banyak yang berubah, saya memilih untuk terus berjalan dan membina impian bersama anak-anak saya.  Allah memberikan saya kekuatan dan kesabaran untuk saya terus melangkah.

Membesarkan anak perempuan bukan mudah. Soal takut dan risau itu memang lumrah, namun saya letakkan harapan dan doa saya selalu amalkan,

🌹
حَسْبُنَا اللّهُ وَنِعْمَ الْوَكِيلُ

"Hasbunallah wa ni'mal wakil."

Hasbunallah wa ni'mal wakil ni'mal maula wa ni'mal natsir 

"Cukuplah Allah menjadi penolong kami dan Allah adalah sebaik-baik pelindung."

🌹
 بِسْمِ اللَّهِ الذي لَا يَضُرُّ مع اسْمِهِ شَيْءٌ في الأرض ولا في السَّمَاءِ وهو السَّمِيعُ الْعَلِيم   
bismillahillazi la yadhurru ma'asmihi syaiun fil ardhi wala fis sama'ie wa huas sami'ul 'alim

 Dengan nama Allah yang tidak memberi mudharat akan sesuatu yang dibumi dan yang dilangit (selagi) bersama dengan Nama-Nya dan Dia Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui."

Mawar Rindu

$
0
0
Aku rindu memandang wajah redupmu.
Kamu tetap selamanya Ayah buat anak-anak kita.
Meskipun kau tidak lagi ada di alam nyata, kau selalu ada di hati kami bertiga.

Ayah Embun dan Kekwa.

Semoga berbahagialah dikau di sana.
Semoga kita bertemu kembali di Satu hari yang Pasti.

#mawarmenulis
#MawarRindu

Mawar Menulis

$
0
0
Kembali menulis semula di sini.

Laman blog yang aku rindui..

Tempat meluah segala rasa rindu yang bersarang di hati.

Aku masih tetap sama seperti dulu,

menulis lagi meluah rindu dan melepaskan sebak di hati.

Lama sudah aku menyepi dari tulisan hati,

kerana sibuk dengan tugasan harian yang tidak pernah habis.

Laman mukabuku menjadi medan aku berkongsi cerita, namun jarang sekali aku berkongsi rasa.

Mungkin dengan menulis di ruang ini aku lebih yakin dan selesa, 

menceritakan hal aku , tentang hati aku dan tentang rindu aku.

Siapa sudi membaca tulisan aku, terima kasih diucapkan,

kerana masih sudi mendengar cerita aku yang tak habis-habis merindu.

Selamat kembali ke lamanku,

Mawar Nafastari kembali di sini dengan wajah dan rasa yang baru.


Impian dan azam baru

$
0
0
Hidup tanpa impian umpama kehidupan yang tidak ada arah tuju.

Semua orang punya impian, jika tiada, binalah impian itu supaya kita akan terus bergerak maju ke depan.

Impian orang Islam mahu masuk Syurga.

Oleh itu, semua yang impikan masuk Syurga kena berusaha mencapai sampai dapat masuk nanti. InshaAllah,


Saya masih terus dengan impian saya untuk membina kehidupan yang lebih indah bersama kedua puteri comel saya.

Embun dan Kekwa.

Alhamdulillah, mereka sudah besar, makin meningkat remaja. 

Embun sudah 11 tahun manakala Kekwa 10 tahun.

Pejam celik, masa berlalu dengan begitu pantas dan tidak saya sedari terlalu banyak perkara yang berlaku dalam hidup saya.

Saya berhenti menulis blog kerana mungkin laman media sosial lebih mudah di akses sebelum ini.

Semakin lama, media itu semakin meluas, kadang hak bersuara saya sebagai penulis yang suka melontarkan rasa hati ini kadangkala mungkin membuatkan orang yang berkawan dengan saya di muka buku agak muak dengan posting saya di sana.

haha. bukan mereka kata, cuma sangkaan saya. Maafkan saya, saya cuma rasa mungkin terbaiknya saya bercerita semula di sini.

Seperti mana dahulu saya selalu berkongsi di sini, lebih santai dan mesra dengan papan kekunci.

Oh ya, saya juga sebenarnya baru membeli sebuah laptop khas untuk saya menulis di sini. Saya sudah mempunyai satu impian baru iaitu selalu menulis sehingga saya mampu membukukan penulisan saya sendiri nanti. InshaAllah.


Kalau sahabat mengikuti cerita saya, saya kurang menulis di blog selepas kematian Mama saya. 

Perlahan-lahan saya akan kongsikan di sini ceritera hati saya selepas kematian Mama. 

Pemergian orang yang kita sayang memang amat menyakitkan, tapi saya redha dan pasrah kerana semua milik Tuhan.

Kita semua hanya Pinjaman.

Binalah impian dan azam baru untuk kita terus bergerak ke hadapan.

Fighting!

Viewing all 122 articles
Browse latest View live