"I dah lama sabar dengan perangai you ni tau Nur, I tahu la nak kena buat apa, you tak perlu suruh-suruh, I tak suka!" Tersentak saya mendengar suara Ahmad yang begitu kuat sampai kelihatan urat di lehernya. Dia begitu marah. Tidak pernah lagi saya melihat dia meninggikan suara begitu sepanjang saya berkahwin dengannya.
Air mata saya mulai bertakung, saya menahan semahunya agar air mata saya tidak tumpah sewaktu itu. Saya keliru, saya cuma mengingatkannya untuk pergi ke klinik kerana temujanji suntikan Kekwa yang baru tujuh hari lahir. Kenapa dia begitu marah sekali? Saya tertunduk diam. Ahmad mengambil Kekwa yang sedang tidur di atas katil dan kemudian dia melulu keluar tanpa berkata sepatah ayat pun.
Enjin kereta Ahmad berbunyi, saya menghampiri tingkap bilik dan mengintai apa yang berlaku. Kereta dan Ahmad hilang di pandangan mata saya. "Dia ni ke mana pula? tak mungkin dia bawa Kekwa bersama? " bisik hati saya.
Saya berlari keluar dan melihat Mama dan Che sedang santai berehat di kerusi halaman rumah. Kasihan Mama dan Che nampak keletihan mungkin kerana sibuk melayan tetamu sempena majlis aqiqah Kekwa semalam. Saya menghampiri mereka dan bertanya,
"Che, mana Kekwa? Pa bawa dia sekali ke? seorang diri dia sahaja? Dah Hafiz tak ikut sama?" kerisauan saya tidak boleh disorokkan lagi di hadapan ibu mentua saya ini. Selalunya saya cuba mengawal emosi saya jika saya sedang merajuk dengan Ahmad. Kali ini saya gagal mengawalnya. Riak wajah saya masam mencuka kerana masih terkejut dimarahi oleh Ahmad tadi.
"Biasalah dia Nur, orang lelaki memang begitu, tak usah ambil hati sangat." pujuk Che yang dapat menghidu salah faham antara kami.
Mama di sebelah mengangguk tanda setuju dan senyum memandang Che. Saya menghempas punggung dan duduk di kerusi laman bersama-sama mereka sambil menarik muka tidak puas hati. Entahla, hati saya masih sakit diperlakukan begitu. Salahkah saya mengingatkan dia untuk membawa Kekwa ke klinik?
**********
"Kita pergi ke Lahore ya Nur, I nak bawa Che, Ayah, Mama dan Hafiz jalan-jalan tengok Lahore. You boleh kan ikut sama. Duduk saja dalam kereta, kita tak perlu jalan banyak." lembut pula Ahmad memujuk.
Saya mengangguk setuju. Sebenarnya saya masih makan hati soal petang tadi, tetapi saya tidak mahu mengeruhkan lagi keadaan, maka saya menurut saja kemahuannya. Walaupun sebenarnya dalam hati saya risau keadaan badan saya yang masih di dalam pantang ini.
"Okay, saya ikut saja."
Keesokkan harinya kami bergerak ke Lahore dan tiba di rumah sahabat kami Puan Zai yang menetap di sana. Puan Zai sangat baik hati kerana mempelawa keluarga kami untuk tinggal bermalam di rumahnya.
Kami berjalan-jalan di sekitar bandar Lahore dan juga ke Sempadan Wahga iaitu sempadan di antara negara India dan Pakistan. Di sana kami melihat upacara pertukaran bendera dan petugas askar yang menjaga pintu sempadan. Upacara tersebut memukau hati saya kerana ianya dilakukan sangat unik serta patriotik.
Berada di kota Lahore membuatkan saya berada di Kota Cinta kerana keindahan struktur bangunan di sana, corak hiasan dinding setiap bangunan sangat mempesonakan. Perasaan indah terbuai-buai dan menambahkan lagi buah cinta saya kepada Ahmad.
"Ahmad, maafkan Nur sekiranya selama ini Nur menyusahkan awak. Saya janji lepas ni saya tak mahu cari gaduh dengan awak, kontrol awak ke apa ke.. maafkan saya tau." saya mendekati Ahmad lalu memegang erat tangannya .