"Ahmad, tunggulah saya. Jauh lagi ke nak sampai puncak bukit ni?" saya mengeluh kesal kerana ikut Ahmad mendaki bukit kali ini.
Ahmad mencebik, "La, tadi dia juga kata nak ikutlah, nak tengok pemandangan apa la, sekarang baru separuh perjalanan dah mengalah?"
Saya muncung dan sambung meneruskan pendakian. Sebenarnya seronok juga mendaki ini untuk menghirup udara segar, melihat pemandangan yang hijau dan bersenam juga. Tapi, bukannya nak makan hati dengan kritikan yang tidak membina orang kat depan sana.
" Dia boleh la, kaki panjang, langkah besar, kita ni dah lah pendek, jalan terkedek-kedek di belakang!" bentak hati saya tidak puas hati Ahmad jauh di hadapan bersama Embun di dalam beg galas depan.
"Cepatlah, nanti dah senja tak sempat sampai atas!" Ahmad berteriak dari jauh.
Saya akur dan pasrah lalu terus melangkah lagi sehingga ke puncak bukit. Subhanallah, memang cantik pemandangan di sini. Kehijauan pokok-pokok membuatkan rasa nyaman dan penat dan sakit hati saya sebentar tadi seakan hilang.
Sesampai sahaja di rumah, saya masih masam mencuka. Tidak puas hati dengan tindakan Ahmad meninggalkan saya jauh di belakang.
"Kata nak pergi daki sama-sama, tapi seorang di depan , seorang di belakang. Bukan sama-sama macam tu! " bisik hati saya yang geram. Saya menghempas beg tangan dan terus berlari ke bilik air.
"Ala, cik Nur, keluar lah, jangan merajuk.." rayu Ahmad dan pintu bilik air diketuk berkali-kali.
"Tahu pula rasa bersalah kan, padan muka!" sengaja saya tinggikan suara tanda masih protes. Orang lelaki tak boleh bagi muka dan selalu saja blur kalau dia buat silap.
"Nur..." kali ini sayup pula saya dengar suaranya.
Pintu bilik air dikuak dan saya keluar sambil menunjukkan kit ujian mengandung kepadanya. Terdapat dua jalur di atas kit ujian tersebut.
"Embun nak dapat adik ke? Syukur Alhamdulillah... " Ahmad meloncat gembira.